Siapakah Golongan ar-Rafidhah?


Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata, “Aku telah bertanya kepada ayahku, siapa Rafidhah itu?” 
Maka beliau menjawab, “Mereka adalah orang-orang yang mencela Abu Bakar dan Umar ” (ash-Sharimul Maslul ‘Ala Syatimir Rasul hlm. 567, karya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah)

Sebutan “Rafidhah” muncul berkait rapat dengan peristiwa Zaid bin Ali bin Husain bin Ali bin Abu Thalib berhadapan dengan para pengikutnya ketika memberontak kepada Khalifah Umayyah, Hisyam bin Abdul Malik bin Marwan di tahun 121 H. (Badzlul Majhud, 1/86)

Zaid mengiktiraf ketiga-tiga khalifah terdahulu (Abu Bakar, Umar dan Usman), tetapi beliau berpendapat Ali lebih afdhal. Beliau juga berpendapat "harus" melantik khalifah di kalangan mereka yang kurang afdhal. Dengan itu beliau tidak menafikan kekhalifahan Abu Bakar, Umar dan Usman. 

Dalam peristiwa itu, terdapat beberapa pengikutnya bertanyakan pendapatnya mengenai Abu Bakar dan Umar. Maka Zaid mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua. 

Terdapat pengikutnya marah dan tidak bersetuju dan lalu mereka memisahkan diri dari menjadi pengikut Zaid. Lalu Zaid memanggil mereka  “Rafadhtumuunii.” (Maqalatul Islamiyyin, 1/137). Yang bermaksud "Kalian tinggalkan aku?" Begitulah kisahnya bagaimana wujudnya istilah ar-rafidhah yang ditujukan kepada golongan yang memisahkan diri dari kumpulan Zaid..

Golongan memisah diri inilah yang menjadi pelopor kepada Mazhab al-Ithna ‘Asyariyyah, iaitu yang dikenali mazhab Syiah yang terbesar, Imamiyah. Dari sinilah bermulanya sejarah kenapa pihak sunni menggelar Syiah Imamiyah dan seumpamanya sebagai puak ar-Rafidah.

Menurut Ibnu Taimiyyah dalam "Majmu' Fatawa" (13/36) menyatakan, ar-Rafidhah pastinya merupakan pengikut Syiah, sedangkan Syiah belum tentu tergolong dalam kumpulan ar-Rafidhah; kerana tidak semua Syiah menolak Abu Bakar dan Umar sebagaimana yang disokong oleh Syiah Zaidiyyah. Syiah Zaidiyah merupakan kelompok dari pengikut-pengikut Zaid.

Comments

Popular Posts